single-image

Projek Aman Laut mercu tanda baru Kedah

Projek Aman Laut yang dilaksanakan menerusi kerjasama ​​​​​​antara Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri, Permodalan Kedah Berhad dan Property Builder (Kuala Kedah) Sdn Bhd akan merancakkan pembangunan di Kedah.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata projek itu yang akan dibina di kawasan tebus guna laut di Kuala Kedah bakal menjadi mercu tanda ikonik baharu di negeri ini.

Projek Aman Laut melibatkan empat fasa iaitu Fasa 1, Fasa 1a, Fasa 2 dan Fasa 3 itu dan akan dibina di atas tanah seluas 123.2 ekar dan dijangka siap dibina sepenuhnya dalam tempoh 10 tahun.

Bagi Fasa 1 sebanyak 1,100 unit kediaman ditawarkan dengan harga RM230,850 hingga RM274,200 seunit manakala Fasa 1a sebanyak 1,918 unit ditawarkan dengan harga RM250,000 seunit.

Mukhriz berkata “kerja tebus guna laut (projek) ini sudah bermula dan kita jangka Fasa 1 dan Fasa 1a akan siap pada tahun 2021 dan 2023.

“Saya lihat projek ini akan menjadi pencetus kepada lebih banyak lagi pembangunan berskala besar di negeri Kedah yang menggunakan konsep tebus guna laut yang selama ini hanya tertumpu di kawasan Langkawi sahaja,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Pelancaran Projek Aman Laut di Kuala Kedah yang turut dihadiri Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Datuk Bakar Din dan Ketua Pegawai Eksekutif Permodalam Kedah Berhad Abdul Rahman Din.

You may also like