single-image

MCA tidak perlu curiga muafakat politik baharu

MCA dinasihatkan supaya tidak curiga dengan penubuhan blok pembangkang baharu seperti yang dihasratkan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang turut akan melibatkan Pas.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, MCA perlu melihat gabungan politik ini dalam satu kerangka yang lebih besar iaitu pembangkang perlu bersatu untuk membina kekuatan serta menambah kerusi dalam kalangan parti pembangkang.

“Saya tidak pasti, tapi mungkin MCA melihat gabungan ini merupakan sebuah parti dominan Melayu tetapi mereka perlu melihat dari konteks pembangkang iaitu kita perlu banyakkan kerusi pembangkang.

“MCA tidak perlu curiga muafakat politik orang Melayu ini kerana muafakat ini tidak akan hilangkan hak bukan Islam. Kita mematuhi peraturan, dan Pas yang merupakan parti pembangkang paling lama di Malaysia, walaupun tetap mempertahankan dasar perjuangannya tetapi kita ikut saluran sistem domokrasi sedia ada,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, UMNO tidak pernah membincangkan rancangan untuk menyertakan Pas dalam penyusunan semula gabungan BN.

Katanya, jika UMNO bekerjasama dengan Pas tanpa perbincangan awal dengan MCA, maka parti itu tidak ragu-ragu untuk memutuskan hubungan dengan UMNO.

You may also like